Wednesday, September 28, 2011

Pertingkahan~


Hari ini di kantor. Suatu yang tak terduga telah berlaku. Dua sahabat baik bertelingkah hebat. Aku. Hanya memilih untuk diam di satu sudut memerhati. Malas mahu ikut campur. Pada aku, keduanya punya salah masing-masing yang tak seharusnya dihalakan pada satu sama lain. Tak mengapa. Mereka harus belajar. Satu ketika pasti akan tersedar juga salah di diri. 

Seperti juga aku di kantor lama dulu. Sikapku yang keras memenangkan ego sendiri telah menimbulkan pertelingkahan dengan teman baik. Hanya kerana salah faham yang kecil. Masing-masing bermasam muka. Syukur tika itu aku berjaya tundukkan egoku. Menjadi yang pertama memohon maaf. Kini mengambil jalan yang lebih berhati-hati dalam perhubungan dengan yang lain. Agar tiada lagi menyalahertikan maksud mereka yang lain.

Mengalah bukan berarti kita kalah. Tapi, jika itu langkah terbaik untuk baiki keadaan. Tak salahkan?


Tuesday, September 27, 2011

Sang Sahabat~


Aku punya seorang sahabat. Tempat aku luahkan perit hati. Tika yang lain tak berpihak padaku. Tika yang lain menunding aku. Walau hanya berdiam diri, aku faham dia tersepit antara aku dan mereka. Sahabat itu sudi pinjamkan aku bahunya, biar aku lepaskan yang sesak di dada. Bagiku, nilainya sangat tinggi. Kerna hadirnya bawa sejuta makna. Dalam sedar atau tidak, dialah punca aku kembali pada tinta Yang Maha Agung. Walau tak pernah ku tahu makna hadir aku baginya. Dia tetap aku hargai selamanya. Walau mungkin aku ini tak punya makna apa-apa baginya. Aku tetap bersyukur Tuhan temukan aku dengannya. Selalu aku doakan yang terbaik buatnya. Biarpun dia tak di sisi aku lagi.  


Monday, September 26, 2011

Amarah~


Semalam. Sang durjana laknatullah itu membisikkan kata-kata manis ke hatiku. Agar terus aku mengkecam mereka yang menyakitiku. Lama aku terdiam. Seakan ingin setuju di mulanya. Tiba-tiba jantung aku direntap kasar. Hati ditikam bertubi-tubi hingga lumat jadinya. Jiwaku nanar. Dadaku sesak amat. Tika itu aku sedar. Bahwa amarahku kian memuncak. 

Amarah itu. Bila sudah gagal dikawal, ia perosak jiwa. Bila ia sudah merajai hati.  Segala yang pernah terlafaz akan kita lupa. Lupa janji yang pernah dilakar. Lupa maaf yang pernah diberi. Lupa segala kebaikan yang pernah kita perolehi. Hanya ingin memberontak lalu membuka ruang untuk sang laknatullah itu memamah rakus hati dan jiwa. Di penghujungnya, hanya kesakitan yang didapati dan sang durjana itu bersorak kemenangan. 

Tenanglah wahai jiwa dan hati. Yakinlah kau pada janji-janji-NYA. Hikmah itu ada disebalik tiap kejadiannya.