Monday, August 13, 2012

Kenangan~



Sudah dua tahun berlalu episod itu berlalu. Hati yang pernah parah dulu, kini semakin kental. Sepanjang dua tahun juga pelbagai kesakitan, kemanisan, kekusutan dan ketenangan yang aku lalui. Semuanya terlalu berharga untuk dilupakan. Dan aku akui, hikmah yang tersembunyi dulu, kini terlerai. Syukur untuk ketabahan yang DIA kurniakan. Juga terima kasih kerna kurniakan sahabat yang indah-indah buat menemani aku yang pernah rebah.

Lupakan dia? Mungkin tidak. Kerna kotak kenangan masih tersimpan rapi jauh di lubuk hati. Hanya sekadar doa yang mampu aku kirimkan buat dia yang bersemadi di dunia sana. Tidak bersama dia, bukan sesuatu yang aku kesalkan lagi. Itu sudah tertulis dan aku redha. Dengan siapa bakal aku lukiskan kenangan juga, aku serahkan padaNYA. 




Mahu hargai hidup sebelum tiba ke garisan terakhir. 

Sunday, July 29, 2012

:)

Salam Ramadhan. Mungkin sudah terlambat. Tapi permulaan yang sebenar bagi aku adalah esok hari. Ketenangan yang dirasa hari ini, sedikit aneh. Keserabutan semalam, seakan berlari pergi di saat mentari pagi ini muncul di kaki langit. Aneh. Tapi memang kelainannya sangat aku terasa. Mungkin juga kerna kesakitan yang semakin menjauh dari tubuh. Atau mungkin juga kerna titisan hujan semalam yang telah meleraikan hiba jiwaku.

Sedar tak sedar sudah lima bulan aku menyepikan diri. Cuba mengajar diri berdiri di dunia realiti, meninggalkan maya di sini. Namun, hati ini masih tetap rapuh seperti dulu. Dicuit sedikit, melatahlah aku. Dunia aku terasa semakin sepi. Bukan salah sesiapa, tapi salah sendiri. Aku yang lebih suka menyendiri, menjauh dari manusia sekeliling.

Aku semakin takut mahu merapati yang lain. Takut aku tersalah langkah lagi. Takut aku gagal mengawal diri. Takut ego menguasai. Takut aku yang menyakiti. Sampai bila, aku pun tak pasti. 

Sungguh aku rindu saat-saat indah dulu. Andai waktu dapat diputar, pasti aku takkan aku biarkan diriku seburuk dulu. Itu hanyalah 'seandainya...' Masakan masa bisa diputar kembali. :)



*menyejukkan diri dengan laicikang. setelah dicari, akhirnya dijumpai. Alhamdulillah. :)


Saturday, July 28, 2012

Nikmat~

Kesakitan yang dirasa
buat aku seperti ingin terbang
meninggalkan jasad ini
pergi pada dunia yang tiada rasa

......

Setelah beberapa hari menanggung kesakitan
buat aku tidak sabar untuk kembali sihat

Hari ini
Alhamdulillah
Nikmat sihat sudah semakin hampir

Sakit ini
buat aku sedar
betapa bernilainya
Sihat itu

Untuk tidak disalahgunakan




Tuesday, July 24, 2012

Kata, Hati

Kita manusia
makhluk ciptaanNya

Itu semua tahu

Namun,
hati kita siapa yang pantas meneka

niat?
paling mustahil
hanya DIA di atas yang punya hak menentukan

tiap butir bicara
adakalanya bisa disalah tafsirkan
adakalanya tidak sampai pada maksudnya

Manusia?
hanya tahu meneka
kononnya pandai membaca
mentafsir, hati yang lain

tak mungkin semudah itu
pelbagai ritma hidup Allah jadikan
tiada aliran bicara yang hanya semudah kata

kenapa?
tanya DIA


ada sebabnya
Galilah setulus hati.


Tuesday, July 03, 2012

Jujur

Jujur.
JUjur pada hati
Jujur pada jiwa
Jujur pada semua

Ada lagikah jujur?

Heh!
Aku sendiri tak sedar
Semakin lama
Semakin hilang
Si jujur di dalam aku

Mana?
Tercari - cari

Ah!
Hilang sudah
Tanpa aku sedar

Nampaknya jujur sudah pergi bersama hipokrit
Aku gagal lagi.


Monday, January 16, 2012

Mutiara Aisyah~

Qaisara meraup mukanya berkali-kali. Peluh dingin membasahi tubuh. Aneh. Masakan tidak, dia sekarang berada di tepi pantai yang anginnya mengalun lembut. Cukup mendinginkan suasana malam yang disinari sang bulan indah itu. Tapi kenapa dia berpeluh pula, seakan di bawah panahan mentari yang terik. 

“Ahhhh!” rimas! Dia mula mengatur langkah ke persisiran pantai. Suasana yang gelap itu sedikit pun tidak menakutkannya. Berjalan di gigi air, lebih menenangkan. Fikirannya berkecamuk. Jiwanya seakan kosong. Mati. 

‘Apa aku nak buat ni? Bosannya. Itulah, tadi Laila nak temankan, aku tak bagi. Hmm… pelik, takde orang la pulak kat sini.’ Ngomel Qaisara sendirian. Dari kejauhan dia seakan ternampak suatu objek berwarna putih di hujung pantai sana. Berdekatan sebuah teluk kecil. Tanpa disedari, kakinya terus melangkah ke arah objek tersebut. Semakin lama, makin laju rentak kakinya.

Apabila semakin hampir, kelihatan satu susuk tubuh seakan seorang wanita. Qaisara memberanikan diri menghampiri objek itu. Makin lama semakin hilang dari pandangannya. ‘Aik? Tadi macam ada orang, tapi bila dah dekat hilanglah pula. Hmm… perasaan aku je kot.’ Lantas dia terus berpusing untuk melangkah pulang ke chaletnya. 

“Subhanallah!!!” Qaisara membutangkan matanya. Betul-betul di belakangnya, seorang wanita sedang tersenyum manis. Berjubah putih dan bertudung litup. Jubahnya mengalun lembut dimainkan angin malam.

..........................................

Bersambung di Warna Kaseh~


Sunday, January 15, 2012

Sisi kelam~

Sering aku tertanya
Kenapa Tuhan selalu letakkan aku di sisi kelam
Puas aku cuba merungkai persoalan di sudut hati

Yang timbul hanya
Persoalan demi persoalan
Yang membutuhkan jawapan

Kini
Semakin aku mencari
Semakin aku temui
Jawapan di sebalik rahsiaNYA

Hingga akhirnya
Aku bersyukur pada Ilahi
Dikenalkan dengan sisi kelam

Kerna dari situ ada jalan rahsia ke sisi INDAHNYA.



Saturday, January 14, 2012

Istidraj~

Adakala kita ditimpakan pelbagai ujian hidup
Tapi ada juga manusia yang masih bahagia
Kelihatan seperti kurangnya ujian pada dia
Malah bertambah-tambah rezeki dan kebahagiaannya

Maka semakin lupalah dia akan erti kesyukuran
Awaslah!

Bila Tuhan sudah mula menambah nikmat hidup
Sedangkan diri semakin tenggelam dalam dosa noda
dan semakin jauh dari landasan yang sebenarnya
Itulah mehnah yang paling menggerunkan di dunia

Dia merasakan Tuhan itu terlalu cintakannya
Membuka ruang hidup dengan segala kemudahan
Lantas dia semakin leka dan lalai menikmati limpahannya

........................................................................................................................................

Allah berfirman di dalam ayat 182 Surah Al-A'raf : "Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), nanti akan Kami { binasakan mereka itu dengan beransur-ansur } sedang mereka tidak tahu."

Seorang ulamak tafsir yang bernama 'Add-Dhohhak' telah mengulas mengenai ayat 182 Surah Al-a'raf ini. Katanya: "Allah berfirman : Setiap kali mereka menambah/ membuat/ membaharui maksiat yang baru maka setiap itu Aku (Allah) membaharui/ menambah/ membuat nikmat ke atas mereka".

Allah s.w.t telah berfirman di dalam ayat 44 - 45 surah Al-An'am
"Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan) yang mereka perdapat itu, lalu dengan sekonyong-konyong Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa." -44- "Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" -45-

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ". Selepas itu Rasulullah s.a.w pun membaca ayat tadi 44- 45 (surah Al-An'am).

........................................................................................................................................



Suatu ketika dulu, 
pernah aku dikurniakan pelbagai nikmat hidup
oleh Al-Wahhab yang Maha Pemberi 
Kejayaan demi kejayaan aku genggami
Rezeki juga tak segan mendatangi aku

Tapi kesyukuran aku kurang sekali
Mungkin ada secebis dua di bibir
Hanya sekadar lafaz tapi bukan tingkah

Kejayaan dan rezeki buat aku lupa
Lupa untuk membalikkan pada DIA
Sikit demi sikit aku jauh melangkah
Ke dunia yang kononnya 'enjoy'

Bila sudah berkali-kali tersungkur
dalam mengejar bahagia duniawi
aku semakin sedar dari mimpi
hati dan jiwa semakin kosong

Nikmat dulu itu rupanya bersalut racun dan aku terlalu megah menjilatnya hingga membunuh jiwaku sendiri.

Syukur
Sekurangnya Allah masih beri aku peluang untuk menyelami tazkiyatun nafs detik ini.

Semoga di hari depan, aku akan mampu menepis godaan hati yang cintakan dunia fana. Moga kita semua dijauhi dari ISTIDRAJ ini. InsyaAllah~

Wallahua'lam.



Friday, January 13, 2012

Jodoh~

Sana sini bertanya
Sana sini bercerita
Sana sini tajuknya sama
Bila lagi mau hidangkan nasi minyak?

Aku diam.
Senyum.
Alhamdulillah. Hati tenang tiada lagi pergolakan.
Sikit-sikit yang menerpa pasti tegar ditepis.
Kerna aku yakin janji Ya Rahiim itu.

Buat aku pasti ada.
Biarpun tiada di dunia.
Di syurga pasti ada.
Itu janji Ilahi buat yang beriman padaNYA
Juga beriman pada Hari Pembalasan.

Jika mau yang indah-indah.
Usahanya mau kuat di dunia.
Pahitnya harus ditelan.
Kerna jalan mujahadah itu
punya madu yang pahit rasanya
juga hempedu yang manis dinikmati.


Suatu ketika nanti.



Wednesday, January 11, 2012

Tarbiah~

Puas aku muhasabah
Di mana silap diri
Ingin mentarbiah
Tapi aku yang menepis

Ya
tarbiah itu bukan suatu yang mudah
jika ilmu tak penuh di dada
jika kesabaran masih belum kukuh
jika hati belum betul bersih
jika diri sendiri masih belum ditarbiah
sekukuhnya

maka amarah akan merajai
jiwa akan memberontak
hati akan menepis
pinta dijauhi

Aku kesal
Kesal dengan tingkah sendiri
Yang amat buruk di pandangan Ilahi.

Maafkan kandamu ini atas kekhilafan diri.


Tuesday, January 10, 2012

Noktah bidayah~

Titik mula.

Ingin bangun setelah terjatuh berkali-kali
bukanlah suatu yang mudah.
Namun. Bukan juga suatu yang mustahil.
Direnung aku berkali-kali.
Subhanallah.
Indah rupanya hidup ini.
Yang telah aku tertinggal selama ini.


Biarpun siapa aku di sini.
Biar siapa aku yang dulu.
Yang pernah kamu kenali.
Terimalah aku yang baru.
Hilangkan aku yang dulu.
Aku mohon.

Semoga noktah bidayah ini
wujudkan aku yang baru.


Sunday, January 08, 2012

Hilang~



Hilang
Diam
Sepi






Bukan melarikan diri
Sekadar mengumpul sesuatu
Untuk betah aku genggam nanti
Untuk petah aku berbicara nanti
Di depan DIA~

Masa dan tika itu pasti tiba
Aku tunggu di batas kesabaran

Tenang aku
Senyum aku
Alhamdulillah~