Saturday, November 12, 2011

Titik pemula~



Aku ingat lagi tika di fasa ujian kehilangan tempoh hari. Bak jatuh tersungkur sembah ke bumi aku sambut kehilangannya. Tika itu, jelas di mata jiwa aku, Allah itu bisa ragut kembali bahagia kita walau sekelip mata tanpa apa-apa signal dulu diterima. Bukan kerna DIA kejam, tapi peringatan buat santapan minda, hati dan jiwa yang semakin kelam dipeluk keasyikan dunia. Ya, aku akui, tika itu aku sedar kehebatan Ilahi. Namun, dek simpati manusia yang aku terima, buat aku gagal mencari titik pemula. Aku leka dan hanyut mengenggam simpati yang mencurah. Benar, luka sedikit sembuh, tapi, jiwaku kosong, hatiku lohong dan mati. Kerna aku semakin tenggelam dalam dunia kepuraan ditemani teman-teman yang membelai lembut jiwa aku.  Seakan mereka pasti terus bersama memimpin aku ke lembah bahagia. 

Dalam keasyikan belaian dunia, ujian tiba lagi. Tuhan tak pernah lelah beri aku peluang. Untuk kembali ke titik pemula. Kali ini, tika badai melanda. Aku sedar, janji manusia adakalanya takkan pernah setia. Teman di kala bahagia, ada yang tak muncul di kala badai tiba. Tika aku ditunding jari, semua melarikan diri. Tiada yang sudi membela. Inilah ritma dunia. Tika ditinggal sepi, baru aku sedari. Jika peluang Ilahi kali ini, aku lepaskan lagi. Entah bila kan muncul kembali. Dalam kekalutan penasaran, suara teman yang benar-benar setia, mengejutkan aku dari lena. Memimpin aku ke titik pemula. Kini tugasku, mengisi kembali hati dan jiwa yang pernah lohong dan mati.     


Wednesday, November 09, 2011

Cari~


Aku ini manusia yang sering merasa terpinggir.
Sedangkan aku yang meletak diri di pinggiran.
Dalam sedar dan jaga, dalam tidur juga lena.
Masih tercari-cari akan cahaya puteh itu.
Semakin digali aku, semakin aku teraba-raba.
Muncul tiba, dikit demi dikit. Aku genggam.
Bawa cekal dalam dakapan, terus meniti.







* Ilmu itu, semakin digali, semakin banyak rasa kekurangan diri.

 

Friday, November 04, 2011

Ego~


Kamu punya ego? Pasti ada, bukan. Bezanya cuma tinggi atau rendahnya egomu itu. Bagi aku, egoku terlalu sukar aku tundukkan. Pantang aku, jika ada yang mahu memperlekeh. Tidak kira zahir atau batin. Kerna itu aku usaha untuk tidak memperlekeh yang lain. Kita punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Belajar untuk menerima. Mungkin itu sebabnya, aku tidak merelakan diriku dihina. Anehnya, bagi beberapa orang yang pernah hadir dalam hidupku, terlalu mudah aku lenturkan egoku demi dia. Dan ketika itu, aku akan jadi lembut di hati. Apa saja sanggup aku lakukan deminya. Walau sendiri yang tersakiti.

Terfikir juga aku, ujian Ilahi kali ini. Mungkin kerna DIA mahu ajar aku supaya lebih sabar hadapi karenah yang lain padaku. Mahu ajar aku supaya lebih bijak bermain ego sendiri juga dalam mengawalnya. Supaya aku tak lagi mudah tunduk pada ego yang liar menguasai diri.